Sepetang di Perkampungan Tibet Jiaju, Danba

DANBA?


Danba adalah sebuah daerah kecil yang terletak di lembah gunung yang mana penduduknya adalah dari kalangan Tibet Jiarong. Jikalau di Maerkang hanya sempat menilik dengan mata melihat pemandangan dan senibina rumah Tibet dari jauh, kali ini di Danba kami diberi kesempatan bermalam di sebuah perkampungan Tibet Jiarong. Aku memilih untuk menginap di homestay Desa Tibet Jiaju, Danba County. Danba County dikenali sebagai "Rongmi Drango" dalam bahasa Tibet. Bandar Danba dipanggil "bandar Zhanggu", yang mana terletak di dasar lembah yang dikelilingi oleh gunung tinggi dengan ketinggian 1900 meter di atas permukaan laut.


“Lembah Jelitawan ” itulah gelaran yang diberikan kepada Danba County. Katanya gadis-gadis di sini sangat jelita. Aku akui...ketika tiba di Danba County kami di sini disambut oleh tuan empunya homestay Man Tuo Luo yang wajahnya sangat cantik dan kulitnya putih bersih dan lain benarnya beliau dari wanita berbangsa Tibet lain yang biasanya sinonim dengan mata sepet serta berkulit gelap. Bukan sahaja kejelitaan wanita masyarakat Tibet di Danba, di sini juga pandangan mata kami disajikan dengan keindahan desa yang terletak di pinggir sungai Dadu. Apa yang menghairankan aku, cuaca di sini masih lagi dalam musim luruh. Sepatutnya mengikut ramalan cuaca Danba diseliputi salji pada bulan Disember. Terpana aku dibuatnya. Rasa syukur bertamu. Alhamdulillah sempat jua aku lihat Desa Jiaju dalam musim luruh. Kalau tidak, kelihatan putih di mana-mana. Sepanjang perjalanan kembara ini, aku banyak meneliti cuaca dari satu tempat ke satu tempat. Kelihatan sungguh berbeza sekali. Jika di Chengdu masih lagi musim luruh. Tatkala beralih ke Songpan kami menikmati musim salji. Di Danba pula dengan musim luruhnya. Agaknya kerana perbezaan ketinggian, mungkin cuaca berubah-ubah.




[caption id="attachment_5477" align="alignnone" width="3968"]IMG_20181210_152728_928 Sungai Dadu mengalir tenang[/caption]

Untuk ke Desa Tibet Jiaju kenderaan berat tidak digalakkan melalui laluan bergunung yang menghubungkan jalan utama ke desa tersebut. Kami ke homestay yang terletak di tepian gunung dengan menaiki kereta sedan pemilik homestay. Sewaktu melewati pinggir desa ini aku lihat banyak tanaman yang diusahakan. Pokok pear dan epal mungkin? Aku tidak pasti. Namun pokok pokok tersebut ku lihat hampir dogol jadinya. Musim luruh, maka tidak hairanlah jika pokok-pokok kelihatan kekeringan. Teringat aku pada sebuah buku coretan milik Liang Lu bertajuk “Travel In Love” yang menyatakan sebahagian besar penduduk di sini bercucuk tanam. Aku mengiyakan catatan  perjalanannya. Sungguh apa yang dicatatkannya terbentang di depan mata.


Sebaik sahaja kenderaan berhenti di perkarangan rumah, mata aku terpandangkan keadaan rumah tersebut dari bawah.


“Biasa-biasa sahaja”, desis hati aku.


Namun sebaik mendaki susur dan anak tangga, satu demi satu barulah aku terpandangkan seni binaan rumah Tibet tersebut dengan lebih jelas. Unik. Bertingkat tiga dan di atas atapnya kelihatan seperti makhota putih yang terletak dengan elok sekali. Usai meletakkan beg di dalam bilik yang aku kira sangat istimewa dengan susunan perabutnya yang bercirikan Tibet, aku dan suami cepat-cepat naik ke atas atap homestay tersebut sambil ditemani tuan rumah. Lantainya mendatar, di kiri dan kanan rupanya ada bilik-bilik kecil tempat untuk penyimpanan barang. Di bahagian atas syiling pula tergantung daging yang aku kira bekalan untuk musim sejuk sehingga musim bunga tiba.




[caption id="attachment_5471" align="aligncenter" width="756"] Mengangkut beban ke homestay 😅[/caption]

 

[caption id="attachment_5474" align="aligncenter" width="3968"] Hiasan rumah Tibet yang berbentuk kubu ini berwarna warni[/caption]

 

[caption id="attachment_5475" align="aligncenter" width="3968"] Daging yang dikeringkan untuk bekalan musim sejuk[/caption]

 

Sebaik mata terpandangkan kawasan sekitar dari atap rumah tersebut, yang mampu terucap di bibir ialah kalimah Allahuakbar. Cantiknya pemandangan di waktu petang di Danba. Dari kejauhan aku lihat keadaan rumah bersenibina Tibet ini meriah dalam warna merah, putih dan coklat bertebaran di kaki gunung. Sungguh mengkagumkan menyaksikan rumah-rumah senibina tradisional ini kelihatan sebati dengan alam sekeliling.


 

[caption id="attachment_5469" align="aligncenter" width="3968"] Berhadapan homestay megah berdiri Mo'erduo Mountain.[/caption]

 

[caption id="attachment_5470" align="aligncenter" width="3968"] Pemandangan sekitar Perkampungan Danba Jiaju[/caption]

 

[caption id="attachment_5479" align="alignnone" width="2048"]OLYMPUS DIGITAL CAMERA Menara kawalan yang terdapat di Jiaju Tibetan Village diambil keesokan paginya.[/caption]

Petang kian menghampiri malam, nampaknya perkampungan ini juga tidak dapat diteroka sepenuhnya kerana kami hanya bermalam di sini sehari sahaja. Bagi aku cukuplah sekadar melihat (walaupun sedikit) dari dekat tradisi masyarakat Tibet Jiarong di Danba ini.  Rekabentuk rumah tradisi, suasana perkampungan, kegiatan ekonomi yang mereka usahakan, antara tinjauan rawak yang dapat aku saksikan.


 

kcf

 

Comments

Popular posts from this blog

My Trans Mongolian Journey

Tsagaan Suvarga & Gobi Gurvan Saikhan National Park

Last Day in Koh Samui, Menjengah Hin Ta Hin Yai & Melewati Waterfall yang Mengecewakan