Terujinya Perjalanan Menuju Khogno Khan Mountain.
Seawal pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Bulgan, kami mengunjungi dahulu Erdenezuu Monastery. Erdenezuu Monastry merupakan satu-satunya kesan peninggalan yang masih utuh iaitu biara yang dibangunkan dengan menggunakan bebatuan dari runtuhan Karakorum pada zaman dahulu. Di dalam Edenezuu Monastery ini terdapat beberapa temple yang masih digunapakai sebagai tempat beribadat. Selebihnya temple tersebut telah diubah suai menjadi muzium sejak 1947. Sepanjang melewati Erdeneezuu aku lebih senang memerhatikan kesan tinggalan lama ~tapak luas seluruh kawasan tersebut yang telah lama dibina. Walaupun Bymba mengajak kami menjengah setiap inci temple, aku tidak teruja untuk melihat patung-patung berhala yang ada. Sekadar menjenguk tepi pintu. Tidak sampai setengah jam melewati Erdenezuu kami meneruskan perjalanan ke daerah Bulgan yang terletak kira-kira hampir 100 kilometer dari bandar Kharkhorin. Sebelum itu kami sempat melihat monument berbatu yang berbentuk penis di sebelah Erdenezuu . Jangan tanya aku kenapa aku tak huraikan ceritanya di sini. Tak kuasa aku!
[caption id="attachment_4830" align="aligncenter" width="4608"] biara yang sudah menjadi museum di Erdenezuu Monastery[/caption]
[caption id="attachment_4831" align="aligncenter" width="4608"] Sekawanan burung merpati kelihatan bertenggek di atas atap museum[/caption]
Dalam perjalanan menempuh laluan tidak berturap, sesekali aku asyik terlena sehingga kepala menjadi sasaran tingkap berkali-kali. Mengantuk benar agaknya hinggakan terhantuk kepala tidak pula cerah biji matanya! Byamba, Zaid dan Ayu juga aku lihat asyik melayan mata. Dalam keasyikkan melayan mengantuk itu, tiba tiba mini van kami bergerak dengan lajunya. Kalut! Hampir terhumban aku gara-gara pemandu van kami mengejar serigala yang kebetulan muncul di pertengahan jalan. Rupanya kata Bymba serigala merupakan sumber inspirasi yang besar bagi Masyarakat Mongolia. Konon-kononnya jelmaan semangat datuk nenek moyangnya. Aku tahu kenapa.....Jika dilihat pada gaya serigala menyerang pemangsanya, bukan lah serangan membabi buta dan tidak rakus. Cuba kau orang tinjau cara serigala berburu... sangat unik dalam mendapatkan hasil buruan yang banyak. Oleh sebab inilah nenek moyang mereka amat mengagungkan haiwan tersebut. Sementelah cara haiwan ini berburu sebenarnya dikatakan mengajar mereka erti keseimbangan rantaian pemakanan. Dan cara haiwan ini berburu juga merupakan strategi hebat yang diguna pakai Temujin bagi menakhluk sebahagian Asia suatu ketika dahulu.
Dalam keseronokan selalunya kita diuji. Macam mak abah kita pesan "Jangan seronok sangat...". Seronok-seronok mengejar serigala yang tangkas melarikan diri, akhir pemandu van kembali semula ke laluan asal untuk menuju ke Khogno Khan yang terletak tidak jauh dari sini. Namun, apa yang terjadi...van kami mula terbalik dan terhumban ke dalam tebing pemisah jalan raya yang tertimbus oleh salji. Cubaan pertama untuk naik ke atas jalan raya tidak berjaya... Cuba lagi kali kedua. Tersekat juga. Kemudian pemandu van kami yang dipanggil Ghana mula mencari jalan keluar dari dataran yang berpasir yang terpisah oleh tebing jalan raya yang tinggi itu. Syukur. . . cubaan ketiga berjaya. Tetapi tidak disangka, van yang kedua yang berada di belakang kami tersangkut pula. Aku yang pada mulanya serius dan tidak boleh hadam apa yang berlaku (cuak sebenarnya), terburai ketawa akhirnya. Allah....macam-macam pengalaman.
[caption id="attachment_4829" align="aligncenter" width="4608"] Masing-masing memikir cara untuk menarik semula van ke laluan asal.[/caption]
15 minit perjalanan yang mencabar tadi tibalah kami ke Khogno Khan Mountain. Khogno Khan Mountain adalah adalah rizab semula jadi yang terletak di Gurvanbulag, Bulgan, Mongolia. Khogno Khan Mountain bukan saja menyajikan monumen dan landskap yang menarik, tetapi yang menawarkan ekosistem yang berbeza iaitu steppe dan taiga. Benarlah bacaan aku pada satu artikel tentang Khogno Khan Mountain ini.
"This natural reserve is home to two ecosystems: the steppe (shrub and grasslands) and the taiga (also known as boreal forest or snow forest)".
Ya...Jadi tak hairanlah ia digelar 'Mini Gobi'. Bagi aku yang bergelar guru Geografi ini peluang besar untuk aku lihat lebih dekat bioma semi padang pasir ini. Komponen abiotik dan biotik saling berinteraksi ini menjadikan alam sungguh indah untuk diamati dan dipelajari seterusnya disyukuri. Kedatangan kami di sini disambut oleh seorang nomad yang pernah menjadi juara berkuda di daerah Bulgan Mongolia. Masih ganteng orangnya!
[caption id="attachment_4818" align="alignnone" width="768"] Seluas pemandangan di luar ger ketika berada di Khogno Khan. I love this view. Waktu ini sedang menunggu turn untuk berkuda. So...lepak dulu sebelum tiba masa.[/caption]
[gallery ids="4825,4823,4821,4820" type="rectangular" link="none"]
Petang itu kami dibahagikan kepada dua kumpulan bagi merasai pengalaman berkuda ke sekitar Khogno Khan. Sungguh ini merupakan satu pengalaman yang sangat manis. Setelah serba serbi lengkap berpakaian tradisi Mongolia iaitu kaftan ataupun disebut sebagai deel, maka baru lah kami dibenarkan mengelilingi sekitarnya. Merasa juga kami berpakaian tradisi Mongolia. Dah rupa macam orang sana!
[gallery ids="4817,4816,4819" type="rectangular"]
Aku sebenarnya kurang sikit aktiviti berkuda. Mungkin kerana aku tidak selesa terhentak dibuai mengikut rentak kuda berjalan. Sepanjang menaiki kuda tersebut sempat juga aku merakam sekeping dua gambar. Walaupun begitu gambar tersebut tidak berapa sempurna bergegar dek menaiki kuda! Dalam kesejukan kami mengambil masa sejam juga untuk mengelilingi sekitar Khogno Khan sambil menghayati terbenamnya matahari. Sedikit demi sedikit aku lihat sinar mentari hilang di sebalik bukit pasir di tengah-tengah kawasan pergunungan. Petanda malam kian menghampiri dan esok pastinya bakal menjelma lagi. Sekejapnya terasa perjalanan kembara aku kali ini... Isk.
[caption id="attachment_media-419" align="aligncenter" width="4608"] Menyaksikan terbenamnya mentari sambil berkuda[/caption]
Wah..terasa hampir dengan lokasinya walaupun tak pernah sampai…penceritaan yang seronok dihayati..
ReplyDelete